Tuesday 16 October 2012

Percik Ikan Mabong

Salah satu makanan kegemaran saya sejak dari kecil. Sangkaan saya masakan ini agak rumit, rupa-rupanya sangat mudah.

( Hidangan untuk 5 hingga 6 orang)


Bahan Ikan bakar
600 gram (6 ekor)  ikan mabong (ikan kembung besar)
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan kuah percik
250 gram (satu biji) santan kelapa 
10 biji cili kering (dipotong, direndam, dan dikisar)
150 gram bawang besar (dipotong dan dikisar)
½ inci halia (dikisar)
1 biji buah tomato (dipotong dan dikisar)
1 batang serai (dititik)
3 sudu besar gula
1 sudu besar garam


Bawang besar, halia, dan serai

Cara-cara memasak

Ikan Bakar

  1. Ikan mabong dibersihkan dan dikelar badannya.
  2. Kemudian gaul ikan mabong dengan garam dan serbuk kunyit sekadarnya, jangan terlalu masin
  3. Bakar ikan mabong tetapi jangan terlalu kering, cukup sekadar bakar sehingga ikan masak.


Ikan Mabong yang telah disiang dan dikelar badannya


Ikan Mabung yang telah digaul dengan garam dan serbuk kunyit

Kuah Percik

  1. Kisar cili kering, bawang besar, halia, dan buah tomato
  2. Leburkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai yang dititik dan santan
  3. Kacau sehingga kuah percik menjadi  satu pertiga  (1/3) daripada paras asal dibawah api sederhana
  4. Apabila kuah percik telah likat, masukkan garam dan gula secukup rasa




Bahan kisar, santan, dan serai di lebur ke dalam periuk

Dikacau sehingga likat ( kuah tinggal 1/3 daripada kuantiti asal )

Hidangan
  1. Sira kuah percik ke atas ikan mabong bakar
  2. Masak percik ikan mabong sedia untuk hidangan sekeluarga




Percik Ikan Mabong
* Tomato boleh digantikan dengan sos tomato atau asam keping (tidak perlu dikisar). Masakan bersantan perlu ada unsur rasa masam agar tidak menerbitkan rasa mual.
* Kadangkala peniaga menambahkan tepung gandum supaya kuah percik cepat likat dan dapat menghasilkan kuantiti kuah yang banyak.
* Ikan mabong juga boleh digantikan dengan ayam
* Menurut emak, asalnya kuah percik direnjis-renjis keatas ikan semasa proses membakar ikan. Rasa kuah akan lebih meresap pada ikan.


Selamat mencuba


Kangkung Belacan

Hidangan sayur yang ringkas, mudah, dan cepat disediakan :)

(hidangan untuk 4 hingga 5 orang)

Bahan-bahan

1 ikat kangkung (patahkan/ potong lebih kurang 3 inci) 
2 batang cili kering (potong, rendam , dan tumbuk)~untuk lebih pedas, tambah cili kering
1 biji bawang besar saiz sederhana  (potong dan tumbuk)
2 ulas bawang putih (tumbuk)
1 x 1 inci belacan (tumbuk)~Jika suka boleh tambah kuantiti belacan
1 jemput ikan bilis
1 cubit garam
10 sudu besar minyak masak
1 cawan air putih (terpulang kepada kuantiti kuah yang dikhendaki)

Cili kering, bawang putih, bawang besar dan ikan bilis untuk ditumbuk
Cara-cara memsak:
  1. Tumbuk cili kering yang telah direndam hingga lumat, diikuti dengan bawang putih, belacan, dan ikan bilis. Bila semua bahan tadi sudah lumat baru masukkan dan tumbuk bawang merah (saya tumbuk bawang merah yang terakhir kerana kandungan air yang tinggi pada bawang akan mengganggu untuk menumbuk bahan yang lain dan mudah tepercik).
  2. Panaskan minyak masak
  3. Tumis bahan yang telah ditumbuk sehingga garing
  4. Masukkan air putih dan tunggu sehingga menggelegak
  5. Masukkan garam secukup rasa (rasa dahulu kuah tersebut sebelum memasukkan garam kerana belacan dan ikan bilis telah membekalkan rasa masin kepada kuah)
  6. Masukkan kangkung dan goreng kangkung sehingga layu
  7. Sedia untuk dihidangkan
Kangkung Belacan



Saturday 13 October 2012

Masak Lemak Lada Kering Ikan Duri dan Belimbing Buluh


(Hidangan untuk 5 hingga 6 orang)

Bahan-bahan
1 Kg ikan duri (Dibersihkan dan isi ikan dipotong setebal 2 inci, bahagian ekor dan kepala dipotong mengikut citarasa masing-masing)
200 gram belimbing buluh (dibelah dua memanjang)
2 batang serai (dititik)
250 gram santan ( 1 biji kelapa)
10 gram asam jawa/ 2 keping asam keping
Garam secukup rasa
1 liter air putih

Bahan kisar
80 gram lada kering
50 gram halia
50 gram kunyit hidup

Ikan duri sebelum dipotong


Ikan Duri; insang dan lupa ikan tidak dibuang kerana emak dan ayah menngemarinya

Belimbing buluh

Halia, serai , dan kunyit hidup

Cara-cara memasak

  1. Masukkan bahan  yang telah dikisar, serai yang telah dititik,  ikan duri yang telah dipotong (kecuali telur ikan), dan air asam jawa / asam keping ke dalam periuk.
  2. Masukkan air putih sehingga ikan tenggelam dan biarkan sehingga mendidih (masak dengan api sederhana)
  3. Apabila kuah telah mendidih, masukkan santan dan godak-godak bahagian atas kuah supaya tidak pecah santan ( jangan kacau bahagian bawah, nanti ikan akan hancur). Tunggu  sehingga isi ikan masak.
  4. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
  5. Masukkan telur ikan duri. Tunggu sehingga telur ikan masak (telur ikan mengeras)
  6. Masukkan belimbing buluh, kacau sekejap dan padamkan api.
  7. Sedia untuk dihidangkan
Lemak lada kering ikan duri dan belimbing buluh
  • Jika menggunakan asam keping, buang asam keping apabila kuah lemak lada kering sudah cukup rasa masammnya, jika dibiarkan , kuah akan menjadi terlalu masam.
  • ikan duri dan belimbing buluh juga lazat jika digantikan dengan ayam dan kentang.

Selamat mencuba :)