Tuesday, 16 October 2012

Percik Ikan Mabong

Salah satu makanan kegemaran saya sejak dari kecil. Sangkaan saya masakan ini agak rumit, rupa-rupanya sangat mudah.

( Hidangan untuk 5 hingga 6 orang)


Bahan Ikan bakar
600 gram (6 ekor)  ikan mabong (ikan kembung besar)
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan kuah percik
250 gram (satu biji) santan kelapa 
10 biji cili kering (dipotong, direndam, dan dikisar)
150 gram bawang besar (dipotong dan dikisar)
½ inci halia (dikisar)
1 biji buah tomato (dipotong dan dikisar)
1 batang serai (dititik)
3 sudu besar gula
1 sudu besar garam


Bawang besar, halia, dan serai

Cara-cara memasak

Ikan Bakar

  1. Ikan mabong dibersihkan dan dikelar badannya.
  2. Kemudian gaul ikan mabong dengan garam dan serbuk kunyit sekadarnya, jangan terlalu masin
  3. Bakar ikan mabong tetapi jangan terlalu kering, cukup sekadar bakar sehingga ikan masak.


Ikan Mabong yang telah disiang dan dikelar badannya


Ikan Mabung yang telah digaul dengan garam dan serbuk kunyit

Kuah Percik

  1. Kisar cili kering, bawang besar, halia, dan buah tomato
  2. Leburkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai yang dititik dan santan
  3. Kacau sehingga kuah percik menjadi  satu pertiga  (1/3) daripada paras asal dibawah api sederhana
  4. Apabila kuah percik telah likat, masukkan garam dan gula secukup rasa




Bahan kisar, santan, dan serai di lebur ke dalam periuk

Dikacau sehingga likat ( kuah tinggal 1/3 daripada kuantiti asal )

Hidangan
  1. Sira kuah percik ke atas ikan mabong bakar
  2. Masak percik ikan mabong sedia untuk hidangan sekeluarga




Percik Ikan Mabong
* Tomato boleh digantikan dengan sos tomato atau asam keping (tidak perlu dikisar). Masakan bersantan perlu ada unsur rasa masam agar tidak menerbitkan rasa mual.
* Kadangkala peniaga menambahkan tepung gandum supaya kuah percik cepat likat dan dapat menghasilkan kuantiti kuah yang banyak.
* Ikan mabong juga boleh digantikan dengan ayam
* Menurut emak, asalnya kuah percik direnjis-renjis keatas ikan semasa proses membakar ikan. Rasa kuah akan lebih meresap pada ikan.


Selamat mencuba


No comments:

Post a Comment